Sistem Potongan Gaji BPA ialah satu sistem di mana semua potongan-potongan koperasi dan lain-lain diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan kerja-kerja potongan gaji di jabatan-jabatan kerajaan. Sistem ini juga merupakan satu kemudahan kepada koperasi dan lain-lain badan untuk mendapatkan bayaran-bayaran seperti yuran, saham, pinjaman dan sebagainya dengan lebih bersistematik dan terjamin.
Bagi anggota-anggota koperasi pula, sistem ini memberi mereka kesenangan membayar balik segala yang terhutang atau yang patut dibayar kepada koperasi atau lain-lain. Sistem potongan gaji ini diwujudkan untuk memudahkan semua pihak dalam urusan masing-masing iaitu, pihak Jabatan dalam urusan penyediaan gaji setiap bulan, koperasi dalam urusan mendapatkan bayaran balik pinjaman dan yuran manakala anggota dalam urusan menyelesaikan bayaran yang perlu dibuat setiap bulan.
Sistem Potongan Gaji BPA ini diuruskan dan dikendalikan oleh Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) iaitu satu daripada bahagian-bahagian yang diwujudkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). BPA diwujudkan atas kemahuan koperasi ekoran daripada keputusan kerajaan tidak lagi mahu membuat potongan koperasi dari lembaran gaji dengan alasan terlalu banyak kerja dan sudah sampai masanya koperasi berdikari.
BPA mula menjalankan perkhidmatannya pada bulan April 1977 untuk 23 buah koperasi sahaja dan pada masa ini terdapat 783 buah koperasi dan bukan koperasi menggunakan perkhidmatannya. Jumlah potongan yang diuruskan juga meningkat daripada RM1.5 juta sahaja dalam tahun 1977 kepada RM380 juta sebulan setakat Julai 2006 dengan bilangan rekod potongan anggota melebihi 2.2 juta. BPA memusatkan operasinya di Petaling Jaya walaupun pelanggan-pelanggannya terdapat di merata Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Biro Perkhidmatan ANGKASA ditadbirkan oleh satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kerja Biro Perkhidmatan ANGKASA. Ahli-anggota Jawatankuasa ini dilantik oleh Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA (Jawatankuasa Puncak), mengandungi :-
- Pengerusi yang dilantik oleh Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA.
- Tiga orang atau satu bilangan yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA.
- Dua orang yang mewakili koperasi.
- Bendahari Eksekutif sebagai Setiausaha.
Sumber dari : www.angkasa.coop